Dikuasakan oleh Blogger.

Selasa, 3 September 2013

Subsidi Kerajaan Adakah Ianya " Mitos Dongeng Lagenda" ?

Tiada ulasan :
Sebelum korang baca apa yang didedahkan oleh Pakar Matematik Gunaan, Prof Madya Hamid Yeop Yeop Zainuddin dalam satu wawancara suatu masa yang lalu tentang subsidi minyak ini, tolong cari jawapan bagi persoalan yang dah lama aku fikirkan ini..

Satu persoalan yang dah lama aku fikirkan.. adakah benar Kerajaan yang ada sekarang ini benar-benar memberikan subsidi terhadap harga Minyak yang digunakan oleh setiap kenderaan yang bergerak dibumi Malaysia ini?

Cukai eksais dan cukai jualan yang dikenakan setiap kereta yang dijual ialah bermula dari kadar minima 85% hingga ke 115% ke atas harga asal kereta..

Katakanlah harga asal sebuah kereta itu ialah RM50,000 dengan menganggarkan cukai yang dikenakan Kerajaan dari harga asal ialah 100% iaitu RM50,000..

Bahagikan jumlah cukai yang dikenakan itu dengan kadar penggunaan petrol dalam satu bulan, dalam hal ini aku sendiri menggunakan kira-kira lebih kurang RM400 untuk petrol bagi satu bulan (pergi balik kerja saja ni..).

 RM50,000 bahagi RM400 jawabnya ialah 125.. 125 Bulan..

125 Bulan bahagikan dengan 12 bulan.. hasilnya ialah 10.42 tahun...

Kadar cukai yang dikenakan itu membolehkan kita mengisi minyak untuk kenderaan kita selama 10.42 tahun..

Jadi sebenarnya dalam hal ini siapa subsidi siapa?.. Kita subsidi Kerajaan atau Kerajaan yang berikan kita subsidi?

Fikir-fikirkan...

Bacalah apa kata Pakar Matematik Gunaan tentang kisah dongeng subsidi petrol ini..


Penyelarasan subsidi ke atas bebearapa bahan keperluan seperti petrol dan gula bukan sahaja memberikan kesan kenaikan harga keperluan asas lain, malah, pelbagai pihak dari sektor perkhidmatan juga menaikkan cas atas alasan tersebut.

Dalam keadaan yang semakin tertekan ini, kakitangan kerajaan yang bergaji RM3,000 sebulan pun sudah boleh dikategorikan miskin, apatah lagi yang tidak bekerja.

Ironinya, setiap kali kenaikan harga barang, golongan ini disaran berjimat cermat. Bagaimanakah lagi caranya hendak berjimat? Adakah sehingga makan sekali seminggu itu yang dikatakan berjimat? Semua saranan ini tentu sekali tidak akan meredakan kemelut sara hidup yang menyeksakan.

Bagi merungkai permasalahan kenaikan harga ini, ikuti wawancara khas wartawan NOR KHALILAH GUSTI HASSAN (Sinar Harian: 5 Januari 2011) dengan Pakar Matematik Gunaan, Prof Madya Hamid Yeop Yeop Zainuddin. Beliau menggunakan pendekatan Matematik untuk meneliti fakta apakah kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia benar-benar merugikan negara sehingga terpaksa mengurangkan subsidi rakyat.

1) Bolehkah harga bahan api ini diturunkan?

HAMID YEOP:

Ya boleh! Malah boleh diturunkan kepada 30 sen sahaja seliter jika menggunakan formula menurunkan harga minyak dan barang-barang yang sekaligus menghapuskan kemiskinan. Formula ini ditemui semasa kajian pada 2008 yang lalu.

Di pasaran dunia harga bahan api turun dan naik tetapi di Malaysia boleh dikatakan tidak pernah turun asyik naik sahaja.

Sesiapa pun faham ini membuktikan harga minyak di Malaysia tidak ditentukan oleh pasaran dunia. Ketika kita RM2.70 seliter, ada negara lain jual hanya 16 sen seliter (Venezuela).

2) Bagaimanakah boleh dijual begitu murah sekali?

HAMID YEOP:

Untuk memudahkan orang awam faham, ambil contoh kelapa sawit. Kita adalah negara pengeluar. Kalau dulu harga sawit RM1,000 satu tan, sekarang dah naik RM3,000. Kita untung atau rugi? Sudah tentu untung 3 kali ganda.

Begitu juga minyak mentah. Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan menganggotai Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Jika Malaysia jual kira-kira 700,000 tong minyak mentah sehari pada kadar USD130 Setong (dengan kadar tukaran mata wang RM3.80 untuk USD1 satu ketika dahulu), ini bermakna perolehan setahun adalah USD33 billion iaitu melebihi RM126 billion. Dengan anggaran perolehan melebihi satu trillion ringgit untuk 10 tahun pada kadar disebutkan tadi, bolehkah Malaysia menurunkan harga bahan apinya? Jika benar rakyat didahulukan maka sudah tentulah jual murah didalam negara tetapi jual ikut harga pasaran di luar negara. Ini adalah hasil negara yang sepatutnya dinikmati rakyat.

3) Maknanya, kenaikan harga minyak mentah dunia tidak merugikan negara?

HAMID YEOP:

Ya benar. Bukan sahaja tidak merugikan Malaysia, tetapi sebaliknya mendapat keuntungan berganda. Seperti kelapa sawit, ramai yang tahu tetapi tidak ramai yang tahu pasal telaga minyak. Kita rujuk data 2008 dengan anggaran jualan minyak mentah Malaysia sebanyak 700,000 tong sehari. Oleh kerana minyak dijual dalam dollar Amerika, bagi memudahkan perbandingan, anggapkan kadar tukaran RM kepada USD ialah RM3.50 untuk USD1.

Harga minyak pada Januari 2007 adalah USD50 iaitu RM175 setong. Justeru perolehan setahun bagi 2007 adalah melebihi RM44 billion. Jun 2008, harga minyak telah naik kepada USD138 iaitu RM483 setong. Justeru perolahan setahun sehingga Jun 2009 adalah kira-kira RM123 billion. Ini memberikan tambahan lebihan untung sebanyak RM78 billion. Keuntungan tambahan ini tidak termasuk keuntungan lain seperti petrol dan diesel. Oleh itu, keuntungan sebenar hasil kenaikan harga minyak dunia adalah jauh lebih tinggi.

4) Dengan RM78 billion lebihan untung, lebih banyakkah subsidi?

HAMID YEOP:

Kalau tiada subsidi pun harga minyak boleh diturunkan, apatah lagi jika ada subsidi. Tetapi rakyat kini menanggung beban kenaikan harga minyak yang kononnya disebabkan kenaikan harga minyak dunia. Ramai yang ingin tahu kemanakah perginya lebihan untuk RM78 billion ini? Lagilah tidak logik kita terpaksa pula mengurangkan subsidi. Kita bukan Singapura dan kita tidak boleh ikut Singapura kerana ia negara pembeli bukan pengeluar. Harga di kilang tidak sama dengan harga di kedai.

5) Benarkah ada subsidi dan siapakah yang menerimanya?

HAMID YEOP:

Ketika minyak mentah berharga USD130 setong (RM455 pada kadar tukaran RM3.50 kepada USD1), kerajaan mengumumkan harga sebenar petrol di Malaysia adalah RM3.00 seliter dan diberikan subsidi RM0.30 sen menjadikannya RM2.70 seliter.

Jika benar ada subsidi, adakah subsidi diberikan kepada semua syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Mobil, Esso, Caltex, BHP dan lain-lain? Tanpa subsidi atau suatu bentuk persetujuan bayaran tertentu kepada syarikat asing tersebut mustahil mereka mahu jual dengan harga sama seperti dijual Petronas, iaitu RM2.70 seliter.

Sekiranya syarikat asing itu tidak mendapat sejumlah subsidi (sama ada daripada kerajaan atau Petronas atau kedua-duanya), tentu mereka menjual mengikut harga yang memberikan keuntungan masing-masing sebagaimana yang dijual di negara lain. Sebab itu harga Shell di Singapura jauh lebih mahal.

Tinjauan saya mendapati stesen minyak membayar tunai dengan harga RM2.70 daripada pembekal syarikat asing. Daripada jumlah itu, mereka hanya memperolehi komisen RM0.095. Ini bermakna, pengusaha stesen minyak bukan penerima subsidi. Justeru kemungkinan besar subsidi tersebut dibayar terus kepada syarikat asing. Lebih 80 peratus daripada RM33 billion subsidi dibayar kepada syarikat asing.

6) Jadi berapakah sebenarnya subsidi minyak kepada rakyat?

HAMID YEOP:

Berdasarkan RM33 billion yang dikatakan tadi, kita boleh mengetahui penggunaan petrol negara ini dalam setahun adalah kira-kira 110 billion liter. Lebih kurang 301 juta liter sehari.

Mengikut laporan pada tahun 2007, terdapat 3,098 stesen minyak di seluruh negara dengan 40% daripadanya, terutama yang di bandar besar dan lebuhraya beroperasi 24 jam.

Ini memberi gambaran purata jualan harian bagi setiap stesen minyak adalah sebanyak 97 ribu liter sehari, atau hampir 3 juta liter sebulan. Suatu angka yang sukar diterima untuk sebuah stesen minyak kerana, secara purata jualan harian mereka tidak melebihi 20,000 liter.

Jika benar ada subsidi maka angka-angkanya mesti selari dengan pengiraan matematik tadi, tetapi kerana angka-angkanya tidak sekena, maka keputusan ini'menidakkan dan menolak kewujudan subsidi petrol berjumlah RM0.30 sen seliter atau RM33 billion setahun.'

Ada atau tidak subsidi minyak untuk rakyat? Andalah yang menentukan jawapannya.

7) Jika tiada subsidi, rakyat terpaksa membeli dengan harga yang mahal?

HAMID YEOP:

Sepatutnya tidak. Salah satu cara terbaik untuk menurunkan harga minyak adalah dengan menyerapkan terus keuntungan Petronas ke dalam hasil minyak (petrol dan diesel) yang dijual di dalam negara.

Penyerapan keuntungan ini akan membolehkan Petronas menjual Petrol dengan harga lebih rendah. Secara langsung akan menaikkan lagi keuntungan Petronas dengan peningkatan penjualan minyak.

Tindakan inilah yang sebenarnya menangkis persoalan ke manakah perginya keuntungan Petronas.

Lagipun bukan semua pengusaha syarikat asing seperti BHP, Esso, Caltex, Shell dan Mobil membeli minyak mentah dari Petronas. Itupun Petronas tetap mengaut untung berbillion ringgit. Sedangkan dengan harga USD50 setong kerajaan mampu menanggung subsidi berbillion ringgit, inikan pula USD138 setong (RM483).

Bila untung 2 kali ganda sepatutnya turun separuh harga.

Benarkah stok minyak kita akan habis?

HAMID YEOP:

Tuhan jadikan Malaysia unik. Laluan gempa bumi pun tidak menempuh Malaysia. Telaga minyak kita macam telaga air di kampung, dicedok banyak mana pun tidak akan habis. Minyak kita, kalau ambil satu tong dia boleh keluar lagi sehingga tiga tong. Saya banyak mmendapat maklumbalas daripada ramai bekas pelajar saya yang menjadi jurutera di Petronas dan di kawsan carigali.

Untuk satu jangka yang amat lama lagi dakwaan ini tidak benar. Kalau habis pun, saya percaya ketika itu minyak bukan lagi merupakan sumber utama tenaga.

9) Formula ini telah Prof cipta semenjak 2008 tetapi tidak diterima kerajaan. Apa komen Prof?

HAMID YEOP:

Sebagai rakyat biasa yang prihatin saya hanya membantu dan mencadangkan setakat yang termampu. Asalnya pun daripada permintaan salah seorang menteri kabinet. Pada pendapat saya, model ekonomi yang digunapakai sekarang adalah betul pada mereka tetapi salah pada rakyat.

10) Akhirnya apakah harapan Prof?

HAMID YEOP:

Menurunkan harga barang menjadi harapan sebahagian besar rakyat. Saya sedia berkongsi formula ini dengan mana-mana pihak terutamanya perti politik yang berhasrat memerintah negara ini, supaya penjelasan dapat diberikan kepada rakyat jelata. InsyaAllah jika pemerintah melaksanakan formula ini, semua rakyat akan jadi kaya dan dalam tiga tahun Malaysia akan jadi 'World Reserved Bank'.

Sisipan: SINAR HARIAN (5 Januari 2011)

oleh wartawan NOR KHALILAH GUSTI HASSAN

Sumber : Kedah Lanie

Tiada ulasan :

Catat Ulasan