Dikuasakan oleh Blogger.

Jumaat, 21 Mac 2014

Chef Wan persenda penemuan objek yang dikatakan pesawat MH370

Tiada ulasan :
KUALA LUMPUR: Chef selebriti, Datuk Chef Wan hari ini mempersenda insiden kehilangan pesawat MH370 menerusi akaun Instagramnya di @chefwan58.

Dalam entri terbarunya, Che Wan bergambar bersama sekeping objek yang dikatakannya sebahagian daripada pintu pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Dalam nada berjenaka yang tidak kena tempat, Chef Wan menyatakan objek tersebut merupakan sebahagian daripada pintu tandas di sebuah rumah di pantai Morib.

Perth merupakan lokasi di mana dua objek yang dikatakan petunjuk terbaik dalam menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370.


 

Entri tersebut telah pun dipadamkan olehnya setelah menerima 701 likes dan dikecam oleh pengikut akaun Instagramnya itu.

Tanpa memikirkan sensitiviti 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu, tindakan Chef Wan dianggap keterlaluan lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan oleh personaliti yang dipandang tinggi dalam bidang masakan tempatan dan dunia.

Che Wan merupakan Duta Ikon Pelancongan dan Duta Masakan Malaysia.

Operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 kini masuk hari ke-14 dan misi diteruskan di selatan Lautan Hindi di barat daya Perth.

Isnin, 10 Mac 2014

Pasport palsu: 'Gantung tugas pegawai imigresen'

Tiada ulasan :
SERI KEMBANGAN – Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R. Sri Sanjeevan mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung tugas anggota dan pegawai dari Jabatan Imigresen yang didakwa cuai hinggan menyebabkan dua pelancong asing menggunakan pasport curi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal Sabtu lalu.
 
Katanya, siasatan dalaman tidak mencukupi jika membiarkan anggota dan pegawai terbabit terus menjalankan tugas seperti biasa kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan sekali gus tidak mencerminkan kesungguhan kerajaan menangani ancaman keselamatan negara.
 
“Saya menyokong tindakan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang akan menyiasat terperinci kes itu tetapi lebih wajar jika pegawai berkenaan ditukarkan atau memberikan itu cuti atau menggantung tugas mereka sehingga siasatan penuh dijalankan. Tindakan itu akan nampak lebih profesional.
 
“Insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana perkara itu cukup memalukan negara kerana dua individu tersebut dapat memboloskan diri melalui checkpoint pihak keselamatan kita dan ini melibatkan 239 nyawa,” katanya kepada Sinar Harian Online, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Ahmad Zahid semalam yang memberi jaminan satu siasatan dalaman akan dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan wujudnya dua pasport palsu dalam penerbangan misteri itu.
 
Ahmad Zahid menegaskan siasatan secara terperinci itu akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
 
Jelasnya siasatan itu dijalankan oleh satu pasukan khas yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.   
 
Susulan kejadian itu, Sanjeevan turut melahirkan kebimbangannya apabila insiden itu turut menggambarkan tahap keselamatan pintu keluar dan masuk negara kini berada dalam keadaan kritikal serta terancam.
 
“Saya rasa tahap keselamatan bukan sahaja di KLIA tetapi di semua pintu masuk dan keluar seluruh negara berada pada tahap yang cukup membimbangkan.
 
“Kes tersebut bukannya kali pertama berlaku seseorang itu memboloskan diri, tetapi kita mempunyai kes-kes lain di mana senjata api, dadah dan mercun dibawa masuk melalui pintu masuk negara kita tanpa dapat dikesan,” dakwanya lagi.

'Bomoh cari MH370'

Tiada ulasan :
Kerajaan amat mengalu-alukan usaha semua pihak untuk membantu mengesan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang, dalam apa jua cara selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (bawah) berkata keterbukaan itu tidak menghalang mana-mana pihak menggunakan kaedah masing-masing namun dari segi perbomohan, ia tidak boleh dilakukan sehingga melanggar batas agama.

"Kita alu-alukan semua untuk bantu, sekarang tidak timbul soal mistik kerana yang penting pencarian kita dan kalau hendak mencari mestilah bertepatan dengan landasan agama.

"Saya minta mana-mana pihak jangan buat perlakuan yang bertentangan dengan syariat...dalam kaedah perbomohan, saya minta ia dilakukan tidak bercanggah dengan agama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Shah Alam, malam tadi. 

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Program Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-35 di sini yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Jamil Khir berkata biarpun tidak semua rakyat dapat menghulurkan bantuan secara fizikal, namun doa yang berterusan supaya pesawat tersebut dijumpai adalah amat diperlukan.

Tambahnya, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen negatif ataupun kutukan berhubung insiden itu sehingga mampu mengguris hati keluarga penumpang pesawat malang tersebut.

Pada Sabtu lepas, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.

Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.

Sehingga kini, pesawat itu masih belum dikesan. 

MH370: Dua individu guna pasport curi menyerupai 'Balotelli'?

Tiada ulasan :
SEPANG 11 Mac - Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mendedahkan dua individu yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat MH370 mempunyai rupa paras pemain bola sepak AC Milan, Mario Balotelli.
Menurut Azharuddin, rakaman video dan gambar dua individu terbabit sudah diserahkan kepada pihak penyiasat untuk tindakan susulan.

"Jadi boleh saya katakan di sini bahawa dua individu berkenaan tidak mempunyai rupa paras orang Asia.
"Kamu kenal Balotelli? Jadi dia bukan memiliki rupa orang Asia," katanya.

Namun ketika ditanya pemberita sama ada dua individu berkenaan berasal dari Afrika, Azharuddin tidak memberikan jawapan dan hanya mengatakan pihak penyiasat sedang menjalankan tugas mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar terakhir hari ketiga kehilangan pesawat Boeing 777 MAS, MH370 di Hotel Sama-Sama di sini malam tadi.

Azharuddin menegaskan bahawa pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) telah mengambil langkah-langkah protokol lengkap bagi aspek keselamatan penerbangan Sabtu lalu ketika semua penumpang menaiki pesawat MH370.
"Pihak penyiasat juga sedang melihat dari sudut di mana dua individu berkenaan mungkin terlibat dengan sindiket pemalsuan pasport," katanya